Kata Imam al-Ghazali: Carilah hatimu pada tiga tempat. Carilah hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Jika kau tidak temui , cari hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui , cari hatimu ketika duduk bertafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya kau tidak mempunyai hati!."
4 tahap virus yang merosakkan hati manusia:
1.Rasa bersalah dengan dosa
Apabila perkara yang dilakukan manusia bertentangan dengan fitrah manusia yang dilahirkan dalam keadaan yang baik, maka manusia akan mengalami "guilty conscience" dalam erti kata lain, rasa bersalah dalam diri. Fitrahnya, rasa bersalah membuat manusia menjadi tidak tenang. Kesilapan atau dosa yang dilakukan akan sentiasa menghantui diri. Jelasnya, manusia akan rasa terseksa dengan hambatan dosa yang mereka lakukan.
2. Rasa biasa dengan dosa
Bak kata pepatah "ala bisa tegal biasa". Rasa bersalah lama-kelamaan akan terhakis juga dek kerana kebiasaan melakukan dosa. Jika dosa yang pertama dilakukan terasa penyesalan tetapi dosa yang diulangi dianggap kebiasaan. Rasa bersalah tidak bertandang dalam jiwa kerana keenakan dosa mengusai segalanya.
3. Rasa seronok dengan dosa
Dosa ibarat racun yang yang disaluti kemanisan dan keindahan. Daripada tahap hati yang bersalah dengan dosa dan terbiasa dengan dosa, maka penigkatan tahap ketiga: seronok melakukan dosa. Nauzubillah!
Kesalahan yang dilakukan tidak sedikit pun terkesan dihati. Pada tahap ini, manusia sedang cuba mencari pelbagai peluang dan ruang untuk melakukan dosa. Maka lahirlah rasa ketagihan dengan maksiat dan rasa gian dengan kemungkaran yang menjadi raja dihati. Virus dosa telah bertukar menjadi nikmat dalam kehidupan.
4. Jadi pembela kepada dosa
Nah! nafsu tidak pernah puas. Kehendak nafsu tiada batas dengan sorakkan syaitan yang mengalu-alukan. Allah s.w.t telah merakamkan perjanjian Iblis dihadapanya, yang bermaksud,
"Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". ( surah al-A'raf ayat 17)
Jelaslah usaha syaitan tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di 'lebuh raya' nafsu dengan menaiki 'kenderaan' sifat-sifat mazmumah, hati yang seronok dirasuk dosa maju setapak lagi untuk membela dosa. Pada tahap ini dosa akan dipromosikan dan dihiasi sebagai suatu perbutan yang indah serta menguntungkan perlakunya. Inilah tahap yang paling kritikal , apabila pembela agama bangkit menangkis kemungkaran tetapi dalam masa yang sama pembela dan perjuang dosa turut bangkit mempertahankan kenikmatan ciptaan mereka.
Wahai hati-hati, ingatlah hati yang sakit lama-kelamaan akan menjadi buta. Bila hati menjadi keras dan dibaluti nilai mazmumah ia akan menjadi barah yang membawa kepada syirik, kafir dan munafik. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
" Dan sesiapa di dunia ini buta hatinya, maka diakhirat nanti akan buta dan lebih sesat lagi jalanya".
(Surah al-Isra ayat 72)